Entries have opened for the 2026 Commonwealth Short Story Prize Read more

Berhenti Gelisah, Belajar Mencintai Terjemahan Cerpen Anda

Arunava Sinha explains how he captures the meaning, rhythm and emotion of a story in a new language.

Posted on 23/09/2025
By Arunava Sinha

Penulis yang dikasihi, anda baru sahaja melahirkan sebuah cerpen dalam bahasa pilihan anda. Barangkali bahasa yang anda diami setiap hari. Kini kisah itu akan diterjemah ke dalam bahasa lain—barangkali sebuah bahasa yang hampir tiada persamaan dengan bahasa anda sendiri. Dari asal-usul ke sintaksis, dari lenggok nada ke susunanya, ia mungkin menjelma sebagai makhluk yang asing sama sekali.

Dan kemudian, hadirlah pembaca karya terjemahan itu. Barangkali dia datang dari ceruk dunia lain, tanpa kunci kepada tanda dan lambang budaya yang dianggap lumrah oleh pembaca karya asal anda. Walau sehalus mana pun kata-kata dan frasa diterjemahkan daripada bahasa anda ke bahasa baharu ini, anda tetap tertanya-tanya: adakah unsur-unsur tersirat itu akan terbawa sama? Tidak hairanlah jika anda merasa gelisah.

Sebagai seorang penterjemah, saya kenal kegelisahan itu. Saya sendiri sarat dengan risau resah. Tatkala menterjemah, misalnya sebuah cerita Bangla ke dalam bahasa Inggeris, saya dihantui soalan: mampukah saya mengangkat segala denyut nadi dalam bahasa yang saya diami ini—bahasa yang bukan sekadar tertulis, tetapi dialami—ke dalam bahasa sasaran? Dan bagaimana pula dengan bahasa Inggeris yang akan saya gunakan, yang unik dengan ragam saya sendiri tetapi barangkali bukan bahasa Inggeris yang akrab bagi pembaca karya terjemahan itu?

Sebenarnya, mencari padanan kata dan frasa adalah persoalan paling kecil. Ada kala, bahasa sasaran tidak memiliki padanan tepat. Namun makna tetap dapat disampaikan, dengan menguraikan kata atau frasa atau menyelitkan konteks yang perlu. Kaedah ini, dikenali sebagai stealth gloss, menyulam penjelasan halus ke dalam teks dan mengekalkan nada, tanpa menjadikannya sebagai nota kaki.

Ada juga penterjemah yang membiarkan kata atau frasa tertentu tidak diterjemah, sebagai tanda kepada pembaca bahawa ia mewakili sesuatu di luar lingkar pengalaman dan pengetahuan bahasa sasaran. Namun, jarak yang terhasil antara pembaca dan konsep asing itu tidak seharusnya mengganggu pengalaman pembacaan.

Saat menterjemah, perkara pertama yang saya renungkan ialah hubungan bahasa asal karya itu dengan bentuk bakunya—bahasa yang lazim dan mudah difahami orang ramai. Apakah cerpen itu menolak kebiasaan dan bereksperimen? Apakah ia melakukan sesuatu yang baharu? Apakah ia menjelajah laras yang luar biasa? Saya berusaha memastikan bahasa terjemahan mengekalkan hubungan yang sama dengan bahasa baku sasaran. Jika tidak, roh cerpen itu akan terhakis.

Seterusnya, bagaimana pula pengalaman membaca teks asal itu? Adakah pembaca mengalir lancar melalui teks itu? Atau adakah mereka sengaja diperlahankan, untuk merenung dan berfikir? Saya berusaha mengekalkan pengalaman itu sedekat mungkin dalam karya terjemahan.

Akhirnya, persoalan yang paling rumit: bagaimanakah penterjemah membaca cerpen itu sebelum ia dialihkan? Bagi saya, tiada cerita yang boleh ditangkap dengan hanya satu tafsiran. Justeru, terjemahan saya harus membolehkan teks dibaca dalam segala kemungkinan, sebagaimana teks asal membuka diri kepada pelbagai cara pembacaan. Tujuan saya bukan untuk menyempitkan pilihan, tetapi mengekalkannya, bahkan memperluaskannya.

Yang penting bagi saya ialah karya terjemahan tidak mencipta ilusi bahawa cerita itu lahir dalam bahasa sasaran. Namun saya juga tidak perlu memutarbelitkan bahasa untuk mengingatkan pembaca tentang hal ini. Hakikatnya, bahasa asal berfungsi dengan serangkaian nada yang berbeza, yang digunakan penulis untuk menggubah sebuah karya bagaikan muzik. Terjemahan pula adalah seperti memainkan nada-nada yang sama itu dengan alat muzik berbeza, menurut sifat dan kehendak alat muzik itu, tanpa cuba meniru bunyi asal.

Penulis yang dikasihi, cerpen anda tidak wujud semata-mata dalam makna kamus kata-katanya—ia bernyawa melalui segala unsur yang terkandungnya. Karya terjemahan tidak akan pernah serupa dengan cerita yang anda tulis, kerana setiap bahasa mempunyai hukum dan ragamnya sendiri. Namun, terjemahan itu mampu menghembuskan nafas segar, yang mungkin setara gemilangnya dengan karya yang anda ciptakan. Maka, percayalah pada penterjemah.


Diterjemahkan oleh Pauline Fan.

Hadiah Cerpen Komanwel kini dibuka untuk penyertaan sehingga 1 November 2025. Penyertaan dalam Bahasa Malaysia dialu-alukan. Hantar karya anda secara percuma di sini.